Wednesday, January 18, 2012

Terjemahan Surah Ali Imran ayat 190-194: "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan (semuanya) ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan dia, dan tiada penolong bagi orang-orang yang zalim. Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan yang menyeru kepada iman, (iaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhan." maka kamipun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, serta wafatkanlah kami bersama orang-orang yang banyak berbuat kebajikan. Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami apa yang Engkau janjikan kepada kami melalui RasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." amin ya Allah....

Monday, January 2, 2012

UNTUK FAHAM AL-QURAN

Diriwayatkan daripada Hadrat Abu Hurairah r.a., beliau berkata, "Bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, apabila umatku mengagungkan dunia, kehebatan Islam akan dicabut daripada mereka, apabila mereka meninggalkan amr bil ma'arof dan nahi anil mungkar, mereka akan dilucutkan daripada keberkatan wahyu dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pandangan Allah s.w.t." Dipetik daripada kitab Durrul Mansur. Hadith riwayat Hakim dan Tarmizi.

PENTINGNYA DAKWAH

Diriwayatkan daripada hadrat Aisha r.ha, katanya, "Pada satu ketika Rasulullah s.a.w. telah masuk ke rumah dan saya dapat merasakan daripada wajah Baginda s.a.w. bahawa sesuatu pekara yang besar telah menimpanya. Baginda s.a.w telah berwuduk dan tidak bercakap dengan sesiapapun. Aku telah merapatkan diri kedinding untuk mendengar pekara yang disabdakan oleh Baginda s.a.w. Baginda s.a.w telah duduk di atas mimbar lalu memuji dan memuja Allah s.w.t. lantas bersabda, Wahai manusia, sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman kepada kamu, suruhlah manusia berbuat baik dan laranglah mereka daripada melakukan melakukan kemungkaran sebelum tiba masanya kamu berdoa kepadaKu tetapi aku tidak memperkenankan doa kamu, kamu meminta daripadaKu tetapi Aku tidak akan memberikan kepadamu, kemudian kamu memohon bantuan kepadaKu yakni terhadap musuhmu tetapi Aku tidak membantu kamu. Baginda s.a.w tidak menambah selain daripada perkataan itu sehinnga Baginda s.a.w turun dari mimbar". Hadith riwayat Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya dan Ibnu Majah.